Thursday, 14 February 2013

Cerita Hud-hud

Assalamualaikum

Aku dapat task buat teks kisah Nabi Sulaiman, Ratu Balqis dan Hud-hud.

Nice kan?



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana dan seterusnya hadirin hadirat yang saya hormati.
(pantun)
Sinar mentari menyilau mata,
Terlalu terik berusaha menahan;
Kebijaksanaan Hud-Hud tajuk cerita,
Buat pedoman hadirin sekalian.
Tahukah hadirin sekalian burung hud-hud merupakan sejenis burung belatuk? Walaupun saiznya kecil, kebijaksanaannya amat mengagumkan. Sikapnya yang taat kepada pemimpin dan sentiasa dahagakan maklumat mengangkat burung Hud-hud menjadi kepercayaan nabi Sulaiman  dalam mencari maklumat-maklumat di luar negeri.  Oleh sebab itu, burung hud-hud menjalankan tugasnya sebagai perisik bagi kerajaan Nabi Sulaiman.  Segala informasi yang telah diyakini kebenarannya akan dilaporkan kepada Nabi Sulaiman sebelum baginda mengambil tindakan lanjut.

Kawan-kawan,
Oleh yang demikian, kita hendaklah memupuk perasaan kasih sayang antara sesama makhluk. Kita digalakkan untuk memupuk kasih sayang kepada haiwan dan juga alam sekitar. Kita dilarang menganiayai haiwan dan alam sekitar kerana mereka juga tergolong dalam makhluk ciptaan Allah. Hal ini sejajar dengan usaha Pusat Penjagaan Kucing Terbiar, Omiey Home yang melancarkan program Omiey One Step Ahead. Program ini bertujuan untuk menyelamatkan kucing-kucing terbiar. Justeru, masyarakat perlu memainkan peranan dan berganding bahu bagi menjayakan usaha ini.
(syair)
Nabi Sulaiman sudah murka,
Kerana Hud-hud langsung tiada;
Tanpa alasan kukuh hukuman tersedia,
Akhirnya datang membawa berita.
Kawan-kawan,
Pada suatu ketika, tatkala Nabi Sulaiman mengumpulkan dan memeriksa seluruh pengikutnya yang terdiri daripada jin, haiwan dan manusia, didapati burung Hud-hud tidak hadir dalam perhimpunan tersebut.
“Mengapakah burung Hud-hud tidak hadir?”
Tiada seorang pun yang mengetahui mengapa burung Hud-hud tiada bersama mereka. Burung-burung di situ semua diam seribu bahasa kerana tidak tahu di manakah gerangannya burung Hud-hud. Hal ini membuatkan Nabi Sulaiman murka dan bertekad akan menyembelih Hud-hud sekiranya burung kecil itu gagal mengemukakan alasan yang kukuh.

Kawan-kawan,
Walaupun Nabi Sulaiman merasa marah namun baginda masih bersikap rasional dalam membuat keputusan. Meskipun Nabi Sulaiman berniat mahu menyembelih Hud-Hud namun, baginda tetap akan memaaafkan Hud-hud sekiranya burung kecil itu menjelaskan alasan yang munasabah.
Janganlah gopoh membuat keputusan,
Supaya tidak timbul penyesalan,
Itulah akhlak orang beriman,
Mari bersama kita amalkan.
Kita hendaklah berfikir dengan rasional sebelum melakukan sesuatu. Tindakan yang diambil semasa fikiran tidak rasional boleh memudaratkan kita. Hal ini dapat dibuktikan dengan kes yang berlaku baru-baru ini. Seorang isteri telah ditetak dengan kapak oleh suaminya sendiri akibat cemburu. Oleh itu, jangan sesekali bersikap emosional atau terlalu mengikut perasaan. Kejadian tersebut berpunca daripada sikap suami yang cemburu buta dan menuduh isterinya curang di belakangnya. Oleh sebab itu, kita hendaklah mencontohi sikap Nabi Sulaiman yang tidak membuat keputusan secara terburu-buru dan memberi peluang kepada Hud-hud untuk mengemukakan alasannya.

Kawan-kawan,
Setelah beberapa lama, Hud-hud pun datang dengan tercungap-cungap. Dia sedar akan kelewatannya itu. Namun, dia tidak takut kerana dia perlu menyampaikan amanah untuk dihadapkan kepada Nabi Sulaiman. Tanpa membuang masa, Hud-hud mengkhabarkan berita yang menjadi punca keterlewatannya.
“Aku datang dari Negeri Saba’ dengan membawa berita yang diyakini kebenarannya,” kata Hud-Hud
(nasyid)
Negeri itu bernama Saba
Rajanya pula seorang perempuan
Sangat berkuasa atas rakyatnya
Sayang sekali dipengaruhi syaitan.
Mendengar akan perkhabaran itu, seluruh perhimpunan merasa terkejut dan kagum dengan kebijaksanaan Hud-Hud yang mendapatkan maklumat tentang keadaan politik di Negeri Saba yang diperintah oleh Ratu Balqis. Sementara itu, Nabi Sulaiman pula bertindak untuk menyiasat dahulu akan laporan yang diterimanya.

Kawan-kawan,
Setelah beberapa lama, Nabi Sulaiman memanggil Hud-Hud menghadapnya. Bagi mengesahkan laporan tentang Negeri Saba, Nabi Sulaiman mengarahkan Hud-Hud mengutuskan surat kepada Ratu Balqis.
Nabi Sulaiman bertitah,
“Jatuhkanlah surat ini kepada Ratu Balqis. Setelah itu, sembunyikan diri dan perhatikan reaksi mereka,”
Tanpa berlengah lagi, Hud-hud mematuhi arahan Nabi Sulaiman. Hud-hud terbang melewati mahligai Ratu Balqis dan melalui jendela istana, surat itu dijatuhkan betul-betul dihadapan Ratu Balqis. Setelah itu, Hud-hud segera menyembunyikan diri bagi memerhatikan reaksi Ratu Balqis sejajar dengan titah perintah Nabi Sulaiman.
Kawan-kawan,
Hud-hud bertindak selari dengan percakapannya dan berani kerana benar.  Setelah melaporkan berita tersebut, Hud-hud turut ditugaskan sebagai utusan Nabi Sulaiman dan surat tersebut hendaklah dijatuhkan dihadapan Ratu Balqis. Hud-hud juga sedia menghadapi risiko dan rintangan yang bakal melanda.
Tambahan lagi, kita patut mencontohi sikap Hud-hud yang mematuhi arahan Nabi Sulaiman. Walaupun tugas yang diamanahkan kepadanya begitu sukar, namun Hud-hud melaksanakan perintah tersebut dengan baik.
Hal ini selari dengan peristiwa pelancaran filem Innocence of Muslims yang dihasilkan di Belanda. Filem yang menyentuh sensitiviti keagamaan ini mencetuskan kemarahan dan kebencian umat Islam sebanyak 1.5 billion di seluruh dunia. Dalam filem ini juga, Nabi Muhammad SAW dituduh mempunyai akhlak yang tercela dan pelbagai dakwaan palsu yang ternyata telah menghina baginda dan umat Islam. Sebagai umat Islam, kita hendaklah membanteras aktiviti yang tidak bermoral ini dengan menentang sepenuhnya segala bentuk ancaman yang dihadapi oleh agama Islam.

Kawan-kawan,
Seterusnya, Ratu Balqis membuka surat tersebut dan membacanya di dalam mahligai istananya.

Menteri pembesar dan cerdik pandai,
Hadir berkumpul untuk berdiskusi;
Memilih perang ataupun damai,
Semua angkara surat misteri.

Kawan-kawan,
Ratu Balqis memilih untuk menghantar delegasi yang terdiri daripada orang-orang kenamaan dari Negeri Saba’ beserta hadiah-hadiah istimewa untuk diberikan kepada Nabi Sulaiman.

Seterusnya, Hud-hud melaporkan kepada Nabi Sulaiman tentang tindakan yang bakal diambil oleh Ratu Balqis. Mendengar perkhabaran itu, Nabi Sulaiman pun membuat segala persiapan dan memanggil pengikut-pengikutnya untuk menyiapkan sebuah istana yang indah dan luar biasa. Dindingnya diperbuat dari kaca, lantainya terdiri dari emas dan perak, pasirnya juga dari intan dan berlian.
Akhirnya, delegasi yang ditunggu-tunggu tiba dan Nabi Sulaiman menyambut kedatangan mereka dengan meriah. Delegasi tersebut merasa terkejut dengan kemewahan dan keindahan istana Nabi Sulaiman. Dengan perasaan malu, mereka menyampaikan utusan dan hadiah dari Ratu Balqis.

Namun, Nabi Sulaiman hanya meminta maaf dan bertitah,

“Kamu tidak perlu memberikanku hadiah ini kerana apa yang Allah kurniakan kepadaku adalah lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu. Bukan aku memandang rendah kepada pemberian hadiah kamu tetapi kamu lah yang bermegah dengan kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. Pulanglah ke negerimu, jika mereka semua tidak mahu beriman, maka kami akan membawa angkatan tentera yang besar jumlahnya dan mengeluarkan kalian semua dari negeri Saba’ dalam keadaan hina dan menjadi orang-orang tawanan.”

Ya kawan-kawan,
Kita patut meneladani sifat Ratu Balqis yang mengadakan perbincangan sesama menteri dan ahli cerdik pandai sebelum membuat keputusan. Mencapai kata sepakat sangat penting sebelum bertindak. Hal ini sejajar dengan Perhimpunan Ulama Sedunia bertujuan untuk menegaskan tentang kepentingan perpaduan dan kesepakatan umat Islam. Selain itu, perhimpunan ini turut mengharamkan pertumpahan darah antara orang Islam yang berbeza mazhab dan aliran. Secara umumnya, perhimpunan ini membuktikan peri pentingnya elemen mesyuarat dan perbincangan.

Kawan-kawan,
Seterusnya, delegasi tersebut pulang ke Negeri Saba, dan mengkhabarkan berita itu kepada Ratu Balqis. Ratu Balqis yang lebih pentingkan kedamaian memilih untuk mengikut ajaran Nabi Sulaiman dan menghadap baginda di istananya.
Bagi menyambut kedatangan Ratu Balqis, Nabi Sulaiman memerintahkan kepada pengikutnya untuk membawa singgahsana Ratu Balqis dari Negeri Saba’ ke istananya.
"Wahai pengikut-pengikutku, siapakah antara kamu yang dapat membawa istananya di negeri Saba’ kepadaku sebelum mereka mengadapku?
Lantas jin Ifrit menyahut:
 "Aku boleh membawakan istana Ratu Balqis sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu,”
Kemudian seorang hamba Allah yang beriman menjawab:
“Aku boleh membawakan istana itu dengan sekelip mata,”
Belum sempat Nabi Sulaiman mengerdipkan matanya, baginda terlihat singgahsana itu terletak di sisinya, maka Nabi Sulaiman bertitah:
“Sesungguhnya, hal ini merupakan sebahagiaan kurniaan Allah untuk menguji sama ada aku bersyukur atau tidak atas segala nikmat yang dianugerahkannya. Dan sebenarnya, sesiapa yang bersyukur, Allah gandakan lagi nikmatnya kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha pemurah,”

Kawan-kawan,
Setibanya Balqis di istana itu,
Sungguh terkejut dan terkedu,
Berasa bingung dan ragu-ragu,
Istanamu sama seperti istanaku.

Istana ini dibawa dari Saba,
Nabi Sulaiman membuat pengakuan,
Bukan air yang dipijak tetapi kaca,
Akhirnya Balqis sujud beriman.
Nabi Sulaiman bertanya kepada Balqis akan istananya itu. Lalu, Ratu Balqis pun mengakui bahawa bentuk istana Nabi Sulaiman menyerupai istananya.

Nabi Sulaiman mengakui bahawa baginda telah membawa istana Ratu Balqis kepadanya dengan izin Allah dan mempersilakan Ratu Balqis masuk ke dalam istana. Lantai istana tersebut diperbuat dari kaca yang nipis, jernih, rata dan licin. Di bawah lantai tersebut dialirkan air sehingga lantai istana berkenaan kelihatan dilimpahi air. Maka, Ratu Balqis segera berjalan masuk ke dalam istana yang tidak terperi keindahannya. Melihat lantainya yang dipenuhi dengan air, dia lantas menyingkap kainnya agar tidak basah terkena air sehingga memperlihatkan kedua-dua belah betisnya.

“Janganlah kamu menyingkap kainmu itu. Lantai itu diperbuat dari kaca yang sangat nipis dan licin dan bukan dilimpahi air. Oleh sebab di bawah lantai tersebut dialirkan air maka, lantai itu tampak berkilau-kilau seolah-olah adanya air,” Nabi Sulaiman menjelaskan perkara berkenaan.

Takperlu kau singkapi labuhan kainmu
Ketika kau melangkah ke istana Sulaiman
Bukannya air yang kau pijak tapi kaca
Terpedaya dikau dek kemilau sinarnya
(nasyid UNIC)
Mendengar kata-kata Nabi Sulaiman, Puteri Balqis merasa amat kerdil sekali dan insaf dengan kekhilafan dirinya. Selama ini dia memikirkan kekayaan yang dimilikinya merupakan kebahagiaan dan kekuasaan yang paling besar di dunia. Dia tidak sedar akan keagungan dan kebesaran kuasa Allah.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri dengan menyembah matahari. Aku telah tersesat dan melalaikan nikmat yang diberikan oleh-Mu. Ampunilah diriku ini. Kini aku tunduk kepada-Mu dan berserah diri kepada Sulaiman, nabi-Mu dengan penuh keyakinan. 

Ya kawan-kawan,
Seharusnya kita mencontohi sifat Ratu Balqis yang merendah diri dan sanggup mengadap Nabi Sulaiman di istananya. Selain itu, sifat Nabi Sulaiman juga turut diteladani kerana sentiasa merendah diri walaupun mempunyai kerajaan yang luas. Seharusnya, seorang pemimpin hendaklah mengamalkan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat. Hal ini dapat dibuktikan dengan peristiwa Sultan Muhammad IV yang merupakan sultan berjiwa rakyat. Baginda telah mengimamkan solat hajat yang disertai ribuan rakyat Kelantan. Baginda juga turut membuka Istana Air Mata, Kota Bharu bagi menjalankan solat terawikh bersama rakyat jelata.
Berfikir sebelum membuat tindakan,
Amalkan diskusi dan perbincangan;
Tabah dan sabar dalam kehidupan,
Demikianlah kisah ambil pengajaran.

Saya memohon mengundur diri,
Salah dan silap harap dimaafi,
Berakhir sudah sebuah cerita,
Moga menjadi pedoman berharga.
Sekian, wabillahitaufiq walhidayah wassalamuaalaikum warahmatullahi wabarakatuh.



13 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas perkongsian..
      dari mana teks ini??
      sy nk gunakan utk panduan teks bercerita..

      Delete
    2. saya buat sendiri ni.
      emm... teks ni dah ada org guna.

      Delete
    3. kalau nak guna, saya bleh buatkan yang lain?

      Delete
    4. BOLEH SEND TEKS NI KE EMAIL SY X? buat rujukan dalam olahan bercerita sy (pipislam90@yahoo.com) shukran

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. dah takbleh copy sebab cerita ni dah ada org beli. maaf ye.

      Delete
    2. klu sy nk bli jg cne ye?
      ataupn bleh kn buatkn teks yg lain?

      Delete
  4. suke lar,, bole tak sy jdikn teks nie panduan sy tuk bercrita? huhu

    ReplyDelete